Simptom Osteoartritis

Simptom-simptom osteoartritis selalunya muncul secara beransur-ansur. Pada mulanya anda mungkin mengalami rasa sakit atau kejang yang dianggap sekadar gangguan dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

Simptom-simptom yang biasa termasuklah:

  • Rasa sakit pada sendi – semasa atau selepas melakukan pergerakan.
  • Kekejangan – paling ketara apabila anda bangun pada waktu pagi atau selepas satu tempoh tanpa sebarang aktiviti, selalunya hilang selepas anda bergerak selama 15-20 minit.
  • Kehilangan keanjalan – tidak dapat menggerakkan sendi anda dalam julat gerakan sendi yang sepenuhnya.
  • Rasa terhakis – boleh mendengar atau berasa umpama rawan sedang diparut apabila anda menggunakan sendi.

Osteoartritis juga boleh menjejaskan leher, sendi-sendi jari, pergelangan kaki dan jari-jari kaki. Kesakitan mungkin sederhana dan datang dan pergi tanpa menjejaskan keupayaan untuk melakukan tugas-tugas harian. Keadaan boleh menjadi lebih parah jika dibiarkan tanpa dirawat. Kesakitan dan kekejangan pada tahap osteoartritis yang serius boleh menyebabkan anda sukar untuk berjalan, memanjat tangga, tidur atau melakukan lain-lain tugas harian.

Rujukan:

  1. Yayasan Artritis, AS
  2. Penerbitan Yayasan Artritis Malaysia

Simptom-simptom awal artritis lutut mula dirasai apabila menggunakan tangga

Orang yang menderita sakit lutut semasa menggunakan tangga mungkin mengalami simptom-simptom awal osteoartritis, menurut kajian terbaharu University of Leeds.

Matlamat kajian tersebut, yang diterbitkan dalam jurnal perubatan ‘Arthritis Care & Research’, ialah untuk mengetahui aktiviti pesakit yang mana satukah yang mula-mula sekali dikaitkan dengan sakit lutut, bertujuan untuk menambahbaik pengesanan awal osteoartritis dan seterusnya meningkatkan peluang bagi penghidapnya mendapat rawatan yang berkesan.

Philip Conaghan, seorang Profesor Perubatan Rangka Otot di Sekolah Perubatan, telah mengetuai penyelidikan tersebut. Menurut beliau: "Pada masa ini, pengetahuan kita amat sedikit tentang osteoartritis ‘awal’dan selalunya kita berjumpa pesakit hanya apabila mereka telah mengalami kesakitan dan kehilangan fungsi anggota untuk tempoh yang lama. Kajian ini penting untuk memahami simptom-simptom awal osteoartritis lutut.

“Pengetahuan mengenai perkara ini akan membantu kita melakukan intervensi lebih awal, mungkin membawa kepada kaedah yang lebih berkesan dalam merawat penyakit yang amat menyakitkan ini.”

Dalam kajian ini, pasukan penyelidik telah meneliti kes-kes yang melibatkan 4,673 orang yang telah atau berisiko tinggi mendapat osteoartritis. Peserta telah melengkapkan kaji selidik tahunan selama tujuh tahun bagi membantu para penyelidik mengesan kemunculan rasa sakit semasa melakukan aktiviti-aktiviti yang berlainan untuk satu jangka masa panjang.

Kajian ini mendedahkan bahawa menggunakan tangga adalah aktiviti menanggung berat badan pertama yang peserta mula-mula berasa sakit.

Ini diikuti dengan kesakitan semasa berjalan, berdiri, berbaring atau duduk dan akhir sekali semasa berehat di atas katil.

Kajian ini telah dibiayai oleh Institut Kebangsaan Kajian Kesihatan, Penyelidikan Artritis UK, Wellcome Trust dan Majlis Penyelidikan Kejuruteraan dan Sains Fizikal.

Sumber: University of Leeds, Kajian & Penjagaan Artritis