Memahami Osteoartritis

 

Jenis-Jenis Artritis

Perkataan ‘artritis’ membawa maksud keradangan sendi. Istilah ‘artritis’ telah digunakan dalam dunia kesihatan awam bagi menggambarkan lebih daripada 100 penyakit reumatik dan keadaan-keadaan yang menjejaskan sendi, tisu-tisu di sekeliling sendi dan lain-lain tisu penghubung.

Jenis-jenis artritis utama yang menyerang lutut adalah Osteoartritis, Artritis Reumatoid dan Artritis Pasca Trauma. Tahap keseriusan, corak dan kedudukan simptom berbeza bergantung kepada keadaan tertentu penyakit tersebut. Oleh kerana itu, rawatan akan berbeza mengikut jenis artritis. Matlamat utama rawatan bagi artritis adalah untuk mengurangkan simptom dan memperbaik kualiti hidup pesakit.


Osteoartritis

  • Menyebabkan tulang rawan (tisu keras dan licin yang menutupi hujung tulang dan membentuk sendi) menjadi retak, akibatnya tulang akan bergesel dengan tulang yang lain. Keadaan ini menyebabkan kesakitan, rasa kejang dan bengkak pada sendi yang terjejas.
  • Terdapat juga sejenis osteoartritis yang jarang berlaku yang dipanggil Keradangan Osteoartritis. Keadaan ini dikaitkan dengan rasa kejang yang lebih kerap pada waktu pagi dan bengkak pada sendi yang membuat sendi rasa panas dan kemerahan. Jenis osteoartritis berbilang sendi yang menjadi parah dengan cepat ini adalah lebih sukar untuk didiagnosis kerana jenis ini kerap dikelirukan dengan simptom Artritis Reumatoid (RA).

Artritis Reumatoid

  • Penyakit autoimun ialah keadaan apabila sistem imun seseorang itu menyerang tisunya sendiri. Sistem imun merosakkan tisu normal (seperti tulang rawan dan ligamen) dan melembutkan tulang.
  • Sejenis penyakit kronik yang menyerang berbilang sendi di seluruh tubuh, termasuk sendi lutut menyebabkan kesakitan sendi yang teramat sangat. Artritis reumatoid boleh membawa kepada kerosakan sendi yang tidak boleh dipulihkan dan kecacatan anggota jika tidak dirawat.

Artritis Pasca Trauma

  • Sejenis artritis yang terhasil selepas satu kecederaan pada lutut.
  • Contohnya, tulang yang patah boleh merosakkan permukaan sendi dan membawa kepada artritis lama selepas kecederaan tersebut.
  • Koyakan meniskus dan kecederaan ligamen boleh menyebabkan ketidakstabilan dan haus tambahan pada sendi lutut, lama-kelamaan boleh mengakibatkan artritis.

Rujukan:

  1. CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit)
  2. Akademi Pakar Bedah Ortopedik Amerika