Diagnosis
Osteoartritis seringkali berkembang secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa bulan hingga beberapa tahun.
Terdapat beberapa tanda amaran tentang osteoartritis:
- Pada mulanya, sakit sendi timbul hanya disebabkan oleh aktiviti-aktiviti berimpak tinggi. Kemudian, kesakitan timbul disebabkan oleh aktiviti-aktiviti biasa.
- Sendi mungkin terasa kejang apabila anda bangun pada waktu pagi. Kekejangan ini biasanya berlaku selama lebih kurang 15-20 minit.
- Anda mungkin mengalami bengkak pada sendi-sendi dan kehilangan keanjalan atau kekuatan pada sendi.
- Anda mungkin akan mendengar bunyi ‘berkeriuk’ pada sendi apabila bergerak.
Jika anda mempunyai tanda-tanda dan simptom-simptom osteoartritis , buat temu janji dengan doktor anda.
Doktor akan bertanya tentang sejarah perubatan anda dan melakukan pemeriksaan fizikal dan mungkin,
mengambil ujian sinar-X untuk mengesahkan diagnosis.
Pemeriksaan fizikal
Semasa pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa sendi yang terjejas – mengesan jika ada bahagian yang lembut,
bengkak atau kemerahan dan melakukan pelbagai ujian gerakan pada sendi tersebut.
Sinar-X
Doktor mungkin akan melakukan ujian sinar-X untuk mengesahkan diagnosis. Kehilangan tulang rawan boleh
dilihat dalam foto sinar-X apabila ruang di antara tulang-tulang pada sendi kelihatan sempit. Foto sinar-X
juga boleh menunjukkan cambahan tulang di sekitar kawasan sendi.
Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)
MRI berupaya menghasilkan imej-imej tulang dan tisu lembut yang lebih terperinci, termasuk tulang rawan
menggunakan gelombang radio dan medan magnetik yang kuat.
Ujian darah
Walaupun Osteoartritis tidak boleh dikesan melalui ujian darah, ujian ini boleh membantu mengenepikan lain-lain
penyebab seperti artritis reumatoid.
Analisis cecair sendi
Doktor akan menggunakan jarum untuk mengeluarkan cecair daripada sendi yang terjejas. Memeriksa dan melakukan
ujian ke atas cecair daripada sendi anda boleh menentukan jika terdapat keradangan atau jika kesakitan itu disebabkan
oleh gout atau jangkitan.
Rujukan:
- Penerbitan Yayasan Artritis Malaysia
- Yayasan Artritis, AS