Memahami Osteoartritis

 

Siapa Yang Akan Mendapat Osteoartritis dan Kenapa?

Osteoartritis & Penuaan
Kemunculan osteoartritis semakin meningkat bila umur bertambah disebabkan rawan dalam sendi manusia menjadi semakin haus – semakin anda tua sudah pasti anda telah menggunakan sendi dengan banyak. Walaupun begitu, ini tidak bermakna osteoartritis adalah sebahagian daripada proses penuaan yang tidak boleh dielakkan sebab bukan semua orang akan mendapatnya.

Osteoartritis & Obesiti
Pertambahan berat badan yang menambah tekanan pada sendi badan bahagian bawah, ialah faktor yang memang diketahui sebagai penyebab terjadinya osteoartritis. Lutut yang menanggung berat badan anda adalah yang paling berisiko. Bagi setiap paun tubuh anda, anda menambah 4 paun tekanan ke atas lutut anda dan enam kali tekanan ke atas pinggul anda. Peningkatan berat badan pada usia yang semakin bertambah boleh menambah kemungkinan anda mendapat osteoartritis.

Mengurangkan berat badan walaupun hanya 10 paun (4.5 kg) sudah boleh membantu mengurangkan ketegangan pada lutut. Walaupun anda mengalami osteoartritis pada lutut anda, mengurangkan berat badan boleh membantu anda berasa lebih sihat dan mengelakkan pembedahan di masa depan. Berat badan yang kurang akan mengurangkan tekanan sendi yang selalu mengalami kesakitan.

Osteoartritis & Pekerjaan
Ahli sukan dan mereka yang bekerja melibatkan pergerakan berulang (pelandskapan, menaip atau mengendalikan jentera), berisiko tinggi mendapat osteoartritis disebabkan kecederaan dan peningkatan tekanan pada sendi-sendi yang tertentu. Kecederaan tisu lembut seperti kehausan ACL (ligamen krusiat anterior) boleh membawa kepada osteoartritis; kecederaan tisu ini juga boleh berlaku dalam sendi yang terjejas akibat keretakan tulang dan pembedahan di masa lalu.

Lain-lain
Sesetengah orang mungkin mempunyai kecacatan pada gen yang bertanggungjawab kepada pengeluaran kolagen oleh tubuh – sejenis protin yang membentuk tulang rawan. Kecacatan gen yang jarang berlaku ini mungkin membawa kepada tulang rawan yang lemah secara tidak normal yang haus hanya selepas beberapa dekad melakukan aktiviti normal, menyebabkan osteoartritis pada usia seawal 20 tahun.