Memahami Osteoartritis

 

Sumber imej: Yayasan Artritis, AS

Apa itu Osteoartritis?

Perkataan Osteoartritis berasal daripada tiga perkataan Greek yang bermaksud tulang, sendi dan keradangan. Osteoartritis ialah salah satu daripada penyebab kesakitan dan kecacatan.

Osteoartritis bermula dalam tulang rawan – satu bahagian penting pada sendi. Rawan ialah tisu yang halus dan licin yang menutupi hujung tulang-tulang yang bertemu di sendi. Selain berfungsi sebagai penyerap hentakan, tulang rawan juga membolehkan sendi bergerak dengan lancar. Tulang rawan yang sihat adalah amat kuat dan fleksibel dan membenarkan sendi bergerak dengan lancar dan tanpa kesakitan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan Osteoartritis, tulang rawan telah rosak dan lama kelamaan menjadi semakin haus.

Osteoartritis akan menyebabkan kesakitan, rasa kejang dan bengkak pada sendi-sendi yang terjejas. Kesakitan dan ketidakselesaan ini akan menjadi semakin buruk. Disebabkan kesakitan dan kekejangan ini, merehatkan sendi-sendi ini akan memberi kelegaan. Namun apabila anda merehatkan sendi-sendi ini dengan lebih kerap, otot-otot di sekeliling sendi akan menjadi lemah.

Apabila tulang rawan menjadi semakin haus, sendi-sendi akan perlahan-lahan menjadi semakin besar (menampakkan rangka) apabila tubuh cuba menyembuhkan dirinya sendiri. Proses haus berterusan sehingga akhirnya rawan menjadi sangat sedikit atau tiada langsung pada sendi yang terjejas. Ini menyebabkan hujung tulang akan bergesel sesama sendiri. Rasa sakit dan kejang akibat keadaan ini adalah perkara biasa bila Osteoartritis bertambah serius.

Tulang rawan yang rosak juga boleh menjejaskan komponen-komponen sendi dan menyebabkan masalah-masalah lain dalam sendi. Cebisan rawan atau tulang yang rosak mungkin akan terapung dalam cecair sendi dan ini menyebabkan kesakitan dan kerengsaan. Radang akan berlaku dalam pelapik sendi disebabkan kerosakan rawan. Keradangan ialah istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan kesakitan, kekejangan, kemerahan dan bengkak. Selain dari itu, sendi juga mungkin kekurangan sejenis bahan dipanggil hyaluronan (asid hialuronik) yang menjejaskan keupayaan sendi untuk menyerap hentakan.

Tahap-Tahap Osteoartritis
Perkembangan osteoartritis boleh dibahagikan kepada ringan, sederhana dan serius.

  • Ringan - Pada tahap ini, pesakit akan mula mengalami simptom-simptom sakit sendi. Contohnya, selepas berjalan atau berlari sepanjang hari, lutut akan terasa sakit and apabila sendi tidak digunakan selama beberapa jam, sendi akan terasa kejang.

  • Sederhana - Mereka yang mengalami osteoartritis pada tahap sederhana berkemungkinan akan mengalami sakit yang kerap semasa berjalan, berlari, membongkok atau melutut. Mereka mungkin mengalami rasa kejang pada waktu pagi atau selepas duduk untuk tempoh yang lama. Bengkak pada sendi yang terjejas juga boleh berlaku selepas bergerak terlalu lama. Ujian sinar-X pada sendi yang terjejas akan menunjukkan rawan di antara tulang-tulang telah mengalami kerosakan yang jelas dan ruang di antara tulang semakin sempit.

  • Serius - Mereka yang berada pada tahap osteoartritis yang serius boleh mengalami kesakitan dan ketidakselesaan yang teramat sangat apabila berjalan atau semasa menggerakkan sendi. Pada tahap ini, ruang di antara tulang-tulang pada sendi telah semakin kurang – rawan telah hampir haus keseluruhannya, menyebabkan sendi menjadi kejang dan kemungkinan tidak boleh bergerak langsung.